Kem eksplorasi beri peluang kenali keunikan flora, fauna




Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait





BELAIT, Selasa, 12 Ogos. - Semua pihak haruslah berganding bahu bagi memastikan hutan terpelihara kerana ia merupakan khazanah yang amat tinggi nilainya yang boleh mendatangkan pelbagai impak yang positif kepada masyarakat dan negara. Tanpa hutan, kita tidak dapat menikmati keindahan panorama yang dapat kita nikmati pada waktu ini.


Justeru untuk memberi pembelajaran dari segi mental dan fizikal serta mempelajari lagi ilmu mandiri hutan dan jenis tumbuh-tumbuhan, Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung Sungai Mau, Mukim Bukit Sawat telah menganjurkan Kem Eksplorasi Hutan Tropika 2025 bertempat di Taman Rekreasi Kampung Sungai Mau, bermula 10 hingga 12 Ogos 2025.


Hadir selaku tetamu kehormat di majlis penutup, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat.


Acara terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan dari Pengerusi Bersama, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann selaku Ketua Kampung Bukit Sawat.


Seterusnya penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada peserta Kem Eksplorasi Hutan Tropika 2025, diikuti dengan bergambar ramai dan seterusnya tetamu kehormat dibawa melihat tapak perkhemahan.


Antara pengisian program di sepanjang kem tersebut diadakan termasuklah sesi taklimat dan penerangan keselamatan, pembahagian kumpulan, Team Building (berjalan kaki secara berkumpulan), Khidmat Komuniti Belia (membersihkan kawasan air terjun), mempelajari asas mandiri dalam hutan, dan mempelajari membuat jerat serta menganyam dan menjalin barang peralatan.


Kem yang dianjurkan selama tiga hari itu disertai oleh para belia berumur 15 hingga 35 tahun, dan terbuka kepada ahli-ahli persatuan belia, badan kebajikan, penuntut-penuntut sekolah menengah kerajaan atau bukan kerajaan di daerah Belait, dan dihadkan kepada seramai 30 orang sahaja.


Setiap peserta dikehendaki mengisi borang penyertaan yang lengkap dan hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Yang Dipertua Persatuan / Pengetua / Sekolah dan ibu bapa serta penjaga masing-masing.


Selain itu, makan dan minum turut disediakan oleh pihak penganjur, namun sebarang keperluan tambahan hendaklah disediakan oleh para peserta itu sendiri, dan setiap peserta yang menyertai kem berkenaan dikehendaki membayar BND3.00 sahaja bagi perlindungan insuran selama kem tersebut diadakan.


Antara objektif lain kem tersebut diadakan ialah untuk mengenali keunikan flora dan fauna yang ada di dalam negara dan untuk memupuk kesedaran kepentingan perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi hutan serta menjalankan aktiviti-aktiviti seperti pendidikan dan rekreasi.

Close